Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kami ambil untuk bekerja ialah yang kuat dan beramanah” (Al Qasas:26)
Menurut Imam Syafie r.a: “ Ilmu itu dua, ilmu berkenaan Diin (Islam) dan ilmu berkenaan badan. Tidak terlepas manusia dari kedua-duanya. Ulama-ulama bagi Diin mereka dan doktor-doktor bagi badan mereka”
Arghh! Persis sang kuda menghambur kekagetan dihambat cemeti, tatkala fungsi badaniah mengurai lemah. Harus ditanya pada siapa? Baru disedar selama ini hanya slogan menjadi mainan “Badan sihat minda cerdas”.
Mujur masih berfungsi aqal ini mengungkap perumpamaan setegar karang dilaut sekeras batu digunung. Lantas ilmu itu belum dipelajari, sejujurnya hanya didengari sahaja tidak diimani langsung.
Alasan dihambur untuk menutup segala ruang perdebatan, ilmu ini tidak berapa penting, wajar dikesampingkan lantaran ada ilmu yang lebih haq katanya…sedang hakikatnya itulah yang teramat penting sebelum lahirnya minda yang cerdas.
Maka datanglah tahyul, ada jamahan yang berkhasiat boleh menjadi rentas kepada masalah itu. Tidak perlu jerih perih untuk memerah keringat menggerakkan seluruh jasmaniah itu untuk berfungsi. Mujur!
Inilah pewaris palsu yang sesat lagi menyesatkan sedangkan sebaik-baik yang bekerja itu adalah yang kuat dan amanah. Dua-dua sifat sifar!
Hentikanlah semua ini…Setiap sesuatu yang Allah ciptakan pasti ada Ilmu yang menaunginya, sama-sama kita pelajari dan kongsi. Raikan majlis dan persadakan ilmu untuk manfaat ummah. Mari kita lontarkan segala stigma buruk yang mengasak kita ke belakang.
Percayalah latihan kecergasan itu banyak hikmah yang tersembunyi!
Ayuh bersenam…makanlah dengan penuh tradisi keilmuan bukan dengan resipi yang berbalik adab.
Salam pendidik.
No comments:
Post a Comment