Thursday, May 21, 2009

Jasa Yang Tidak Terbalas

Ibu,,,
Bagi ku ibu ku adalah jiwa ku,,
Ibu ku adalah nafas Ku,,
Ibu ku adalah sahabat ku,,
Ibu ku adalah syurga ku,,

Dan Ibu ku adalah pahlawan yang sangat berjasa dalam hidup ku,,
Ibu ku segala-galanya buat ku..
Ibu adalah semangat ku untuk menuntut ilmu,,
Ibu adalah teman cerita ku disaat aku sedih,,
Ibu adalah Aku,,
Aku adalah Ibu,,
Aku Sayang ibu lebih dari apapun
Aku Mencintai Ibu lebih dari yg ibu kira,,
Aku disini akan selalu ingat ibu,,
Dimana pun dan bilapun,,

Maaf kalau sampai saat ini aku belum bisa memberikan apa-apa untuk ibu,,
Tapi suatu saat nanti jika Allah memanjangkan umur ku dan Ibu
Aku ingin memberikan sesuatu untuk ibu,,
Yang selama ini belum ibu dapatkan,,
Dan semoga Allah selalu melindungi ibu dimana pun ibu berada,,

semoga kelak ayah dan ibu bisa melihat aku menjadi seorang insan yang sukses..

Wednesday, May 20, 2009

Sabarlah kawan-kawanku..

Sabar ialah satu sifat yang dipuji oleh Allah SWT. Sabar ialah menahan diri daripada menderita akibat sesuatu musibah. Sabar memerlukan kekuatan yang didorongi oleh agama.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?”(Al-Baqarah 214)

Firman Allah ini harus dijadikan pedoman. Setiap insan akan diuji tahap kesabarannya mengikut status keimanannya. Adakala, sesuatu ujian itu ringan dan adakalanya berat. Orang yang tahap imannya tinggi lebih besar tahap kesabarannya akan diuji.Lantaran itu, apabila seseorang itu ditimpa musibah maka dia perlu bersabar, kerana dia sedang diuji.

Maka, jika seseorang itu mengeluh yang demikian menonjolkan atas keburukkan diri sendiri kerana budi pekerti yang terpuji ialah sanggup menderita daripada senang.Mungkin ada juga yang tidak pernah menghadapi musibah, yang demikian tidak akan mengenali dirinya sendiri.Kesenangan juga merupakan ujian. Apabila hidup senang, kita diuji dengan keinginan harta benda, pangkat, kewajipan dan tugasan. Lantaran jika seseorang itu tidak dapat memelihara diri daripada ujian ini, maka menampakkan dirinya dengan kerakusan, kegelisahan, ketamakan dan lebih jauh dari itu ialah tidak bersyukur.

Kita patut bersyukur walaupun kita ditimpa kesusahan. Kerana apabila kita bersyukur kita sabar dan reda dengan seadanya. Dan Allah senantiasa bersama dengan orang yang banyak bersabar.

Allah SWT berfirman,“Sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”(An Anfal 46)

Pada hakikatnya, kesemua ini tetap bertunjangkan kepada sifat kesabaran yang tersimpul bersama-sama dengan sifat kesyukuran dan kepasrahan di dalam diri kita. Kesemuanya bergerak serentak dan seimbang.Semoga kita semua diberi sifat kesabaran untuk menempuhi segala musibah dan rintangan. Sama ada di waktu susah mahupun di waktu senang. Kerana di situlah wujudnya kekuatan dalam iman dan jauhnya seseorang itu dari keluh-kesah yang menambah beratnya musibah.

Tuesday, May 19, 2009

Teladan (1)

Benarkah begitu? Pertanyaan yang masih berlegar disetiap minda kita tatkala kegagalan otak mentafsir sesuatu yang tidak berada pada pertimbangan yang disenangi. Pendapat atau sekadar imbuhan ‘pen’ yang menokok kata dapat pada ayat yang sudah distruktur sebegitu rupa. Jarang sekali kita melihat dan menyaksi pemimpin hari ini yang berjiwa besar sebaliknya ramai yang besar kepala.


Adapun kita pernah menjahilkan diri lantaran terlalu mudah untuk merasa takjub dan kagum dalam menghadapi peristiwa alam yang luar biasa. Lalu terungkaplah kata-kata. “Belum pernah terjadi sejak kita merdeka kejadian sebegini..” atau “Sejarah telah tercipta apabila krisis perlembagaan telah melampui tugas perundangan dan eksekutif..” Ganjil?!!


“Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta bagaimanakah ia diciptakan? Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan bagaimana bumi dihamparkan? (Al-Ghasiyah:17-20)


Lalu berlumba-lumbalah pentakwil mimpi jalanan yang sibuk mengungkap akan sinopsis kejadian dengan penuh kesungguhan dan kebijaksaan lagaknya. Beringatlah adapun semua seruan Allah kepada kita adalah untuk mengguna kemampuan akal dan merenungkan peristiwa umat terdahulu sehingga tidak seperti binatang melata liar, berjalan tiada gembala melilau menuju satu tujuan yang tiada ketentuan, dan akhirnya menuju ke lubang iblis setan.


Apabila fasa satu kita menjadi pemimpin, perkara utama yang perlu difikir ialah bagaimana untuk mengarah individu yang berada di hiraki bawahan untuk bertindak mengikut perancangan kita. Sudah tentulah kita mengambil pengajaran dari dakwah Rasulullah, bermula dari hati (akidah).


bersambung………..


salam pendidik.

Monday, May 18, 2009

Petunjuk Yang Kuat

“Petunjuk Yang Kuat, Tugas Yang Seimbang Dan Sunnah Yang Jitu..”

Konsep adil dan amanah mungkin acapkali kita mendengarnya namun sejauhmana ia menjadi nadi di urat ini itu persoalan ke dua. Kita sudah terlalu jauh diburu ilusi lantaran perancangan dan sogokan para penguasa yang mengangkat aqal melampaui tugasnya yang sebenar.

Sudah hampir enam puluh dekad kita hidup dibawah bayangan imperialis. Menerima dan mengamalkannya dalam setiap keputusan. Tiada siapa yang harus dipersalahkan kerana kita semua memang bersalah. Kita membuat perancangan hanya dengan memandang sudut yang kita sendiri fikir betul dan benar.

Perancangan demi perancangan berlalu begitu sahaja tanpa ada kesudahannya. Kita lontarkan pelbagai alasan untuk menutup setiap kegagalan yang mendatang. Jarang sekali untuk kita berani berdepan untuk menjawab mengapa semua ini terjadi.

Kita semaikan kebencian dan tekanan untuk mencapai sasaran yang kita fikirkan hebat. Cuma hati kita masih tertanya-tanya apa yang kita cari sebenarnya. Masih ada persoalan rupanya?

Menelusuri sejarah semenjak kelahiran nur Islam di bumi Melayu sehingga termaktub bahawa Islam itu adalah ciri bangsa Melayu itu sendiri. Hilang Islam maka lenyaplah bangsa yang bernama Melayu itu. “Malai-urr” adalah bangsa agung yang memiliki nur itu. Petunjuk yang kuat telah membentuk rupa jasad bangsa Melayu.

Jarang sekali bangsa ini bersatu malah kerap juga mengaku menjadi pejuang bangsa sedangkan bumi bertuah ini menyaksi akan keangkuhan sebuah kekuasaan. Tugas yang harus diuji tidak pernah selesai Cuma sekadar menjadi pemuas hati yang dangkal tentang ilmu kepimpinan.

Pergelutan politik membawa kepada persepsi yang tidak langsung ke arah mencegah kemungkaran. Kejahilan menjadi teras utama disebalik skrin yang memaparkan gelagat manusia yang bertopengkan kegilaan kuasa. Tiada lagi sunnah yang sebenar perlu dipertahankan, Cuma dihidangkan dengan lagu yang biasa sahaja iramanya. Skripnya sudah dihafal!

Semua ini berlaku di bumi bertuah ini……


Salam pendidik

KURIKULUM TAUHIDIK

Dimulai dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…Yang Berkuasa diatas Penghuni Sekelian Alam..Yang Memiliki Hari Pembalasan.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum diantara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” (An-Nisa:58)

Saya bukanlah seseorang yang berautoriti untuk menafsirkan ayat diatas kerana bukan itu bidang yang harus dipertikaikan. Sebaliknya Allah SWT tidak pula menetapkan syurga itu harus diperolehi dengan rasa ujub dan riak terhadap amalan dan ilmu yang dimiliki.

Persepsi dunia pendidikan di bumi bertuah ini telah menimbulkan pelbagai situasi yang menjurus ke arah yang oposisi. Nah! Tanggungjawab siapakah ini?

Bukankah merit untuk al falah itu merujuk kepada akhlak yang disempurnakan mengikut nilai-nilai yang telah diwarisi? Apakah dengan hanya menjadi pengikut kepada sistem pendidikan hari ini maka kita layak mengukur hadharah yang ingin disanjungi?

Persoalannya sejauhmana konsep mengimani kebenaran dalam ilmu tauhid merentasi seluruh ilmu yang wujud harus menjadi fokus utama. Apa jua yang ingin kita lampirkan sebagai sokongan kepada setiap aplikasi dunia pendidikan mesti memiliki kekuatan roh tauhidiknya kepada anak bangsa.

Maka, perkara fundamentalnya adalah tarbiah yang membawa setiap jiwa dan nurani insan yang bernaung di bumi bertuah ini akan mengerti dan meresapi nadi yang mengalirkan semangat cintakan Allah dan Rasul.

Semua ini harus dimulai dengan falsafah yang menjunjung ke arah keseimbangan makhluk itu sendiri. Justeru itu biarlah kita berlapang dada dalam menerima dan mempertahankan setiap kekurangan yang wujud kerana kita tidak mungkin malah tidak pernah lengkap dalam kehidupan ini. Kalutnya kita kerana kita masih mempertahankan jiwa yang lemah dan kosong dalam menyakini kebenaran. Amanah yang diberi tidak wajar dipersiakan demi kelangsungan bumi bertuah ini dipersada pendidikan pilihan hari ini.


Salam Pendidik.

Sunday, May 3, 2009

Lupa atau buat-buat lupa!

Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kami ambil untuk bekerja ialah yang kuat dan beramanah” (Al Qasas:26)

Menurut Imam Syafie r.a: “ Ilmu itu dua, ilmu berkenaan Diin (Islam) dan ilmu berkenaan badan. Tidak terlepas manusia dari kedua-duanya. Ulama-ulama bagi Diin mereka dan doktor-doktor bagi badan mereka”

Arghh! Persis sang kuda menghambur kekagetan dihambat cemeti, tatkala fungsi badaniah mengurai lemah. Harus ditanya pada siapa? Baru disedar selama ini hanya slogan menjadi mainan “Badan sihat minda cerdas”.

Mujur masih berfungsi aqal ini mengungkap perumpamaan setegar karang dilaut sekeras batu digunung. Lantas ilmu itu belum dipelajari, sejujurnya hanya didengari sahaja tidak diimani langsung.

Alasan dihambur untuk menutup segala ruang perdebatan, ilmu ini tidak berapa penting, wajar dikesampingkan lantaran ada ilmu yang lebih haq katanya…sedang hakikatnya itulah yang teramat penting sebelum lahirnya minda yang cerdas.

Maka datanglah tahyul, ada jamahan yang berkhasiat boleh menjadi rentas kepada masalah itu. Tidak perlu jerih perih untuk memerah keringat menggerakkan seluruh jasmaniah itu untuk berfungsi. Mujur!
Inilah pewaris palsu yang sesat lagi menyesatkan sedangkan sebaik-baik yang bekerja itu adalah yang kuat dan amanah. Dua-dua sifat sifar!

Hentikanlah semua ini…Setiap sesuatu yang Allah ciptakan pasti ada Ilmu yang menaunginya, sama-sama kita pelajari dan kongsi. Raikan majlis dan persadakan ilmu untuk manfaat ummah. Mari kita lontarkan segala stigma buruk yang mengasak kita ke belakang.

Percayalah latihan kecergasan itu banyak hikmah yang tersembunyi!
Ayuh bersenam…makanlah dengan penuh tradisi keilmuan bukan dengan resipi yang berbalik adab.

Salam pendidik.

MEMIMPIN BUKAN DIPIMPIN [ 1 ]

Suasana hari ini tidak sama dengan hari semalam kerana ianya adalah perjalanan yang paling jauh dan tidak mungkin akan sampai kembali sehinggalah ke Hari Pengadilan. Kesilapan masa lalu akan menghasilkan kesilapan akan datang sekiranya kita masih terus menggunakan akal dan peraturan yang tidak merujuk langsung dengan kaedah yang telah digali oleh ahlul bait terdahulu.

Kita masih kagum dengan perencanaan yang kita bina sendiri walau acapkali keputusannya dianggap mustaid. Kalau boleh dipanggil cogo itulah ia!

Bumi tarbiah yang kita panggil ini tidak melambangkan zam-zam dihati malah dipasung dengan pelbagai sistem yang kita gelar pengikut yang mengikut kejakunan pihak lain. Ranting yang kita pegang nampaknya menghukum sedikit demi sedikit bakal menghumbankan kita ke perosok kejahilan.

Mengapa kita tidak mengambil petunjuk dengan ditatap diperiksa dahulu akan pedoman yang telah ditinggalkan oleh sahabat terdahulu. Melahirkan generasi yang diasuh dari sudut hadharah adalah umbuk yang terbit dari mulut yang pandai berbicara. Hakikat yang terpaksa kita telan tiada satu pun dapat kita pertahankan melainkan menuding telunjuk antara satu sama lain.

Tradisi falah yang ingin kita capai adalah umpama tenggala tua yang semakin suram tatkala sore menjengah malam. Tersinggung bahu dan bertombak kata adalah resam dalam mencari persamaan. Jangan dianggap kaum muda itu racun yang menyiram sebaliknya memuja kaum pembantu yang sentiasa ingin menabur bakti dengan jasa kononnya. Sungguh petra mereka ini sehingga segala perancangan dianggap jitu.

Sebuah madrasah yang berakarkan susur galur ketauhidan kepada Pencipta akan lenyap ditelan kerakusan golongan pemimpin yang taksub kepada gah kejayaan yang palsu. Sudahlah kita dipaksa berada didalam sekular yang menyesatkan, menganggap jihad ini seperti iklan di layar skrin sahaja.

Sebuah hadis mutawatir yang diriwayatkan daripada Abu Dzar al-Ghifari bahawa Rasulullah SAW bersabda “Perumpamaan ahlul baitku ditengah-tengah kalian seperti bahtera Nuh, barangsiapa menaikinya maka dia akan selamat; dan barangsiapa tertinggal darinya maka dia akan tenggelam dan binasa” menunjukkan di mana duduk letak kepimpinan yang seharusnya diimani oleh umat Islam.

Kembalilah sahabatku….sedarlah temanku…bangunlah kawanku..Ayuh tegakkan keberanian untuk memimpin . Pedulikan segala sangkaan dan tohmahan yang jahat. Mari kita bangunkan perjuangan untuk anak bangsa ini demi kelangsungan Islam yang Maha Indah ini. Sudah jelas kebenarannya…

Kita adalah pemimpin mereka bukan pengikut yang takut bila diherdik gertak begitu sahaja. Kita adalah penyambung warisan yang ditinggalkan oleh anbia dan tabien. Jangan sampai satu detik nanti kita dimaki hina keturunan sendiri kerana kelalaian ini akan menghancurkan agama yang mulia ini.. disangsi di bumi sendiri.

Salam pendidik.